KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah, di Likas, petang tadi.
Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira jam 4 petang disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Al-Sultan Abdullah turut menandatangani plak simbolik pembukaan kompleks berkenaan dan meninjau kamar mahkamah di bangunan yang terletak bersebelahan Masjid Bandaraya, Likas, itu.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Kewangan negeri Datuk Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohd Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.
Majlis perasmian itu adalah sebahagian program Yang di-Pertuan Agong di Kota Kinabaku dalam Kembara Kenali Borneo bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di ibu negeri, setelah tiba dari Kundasang pada awal petang tadi.
Pada masa yang sama, Raja Permaisuri Agong mempunyai program berasingan iaitu lawatan ke Jabatan Penjara Sabah.
