KOTA KINABALU: Sukan Malaysia (SUKMA) Ke 21 Sarawak yang sedang berlangsung mencatatkan sejarah baru apabila 2 pingat emas dibawa balik ke Sabah menerusi atlet Petanque Sabah.
Dua pingat emas Sabah itu dimenangi dalam acara Triple Wanita menewaskan Johor 11-4 dan Triple Mix (Seorang Lelaki + 2 Wanita) menang ke atas Sarawak 11 – 9.
Antara atlet menyumbang dua pingat emas itu ialah Thadis Henhera, Ellyshatul Balqis dan Marysa bagi acara Triple Wanita dan bagi acara Triple 2 Wanita 1 Lelaki disumbangkan oleh Maxivianna, Vivianah dan Muhammad Aeqhmal.
Ketika ditemui di Miri selepas kemenangan itu, mereka menyatakan penghargaan dan terima kasih Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS), Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN), Persatuan Sukan Boules Sabah (PSBS), University College Sabah Foundation (UCSF) serta semua pihak yang memberi sokongan dan dokongan terhadap sukan Petanque di Sabah.
Presiden Persatuan Sukan Boules Sabah, Morsede Mohamad yang juga kakitangan UCSF mengucapkan syabas kepada semua atlet yang bertanding pada SUKMA Sarawak 2024.
“SUKMA kali ini atlit Petanque Sabah berjaya membawa pulang 2 pingat emas. Kita berharap pada SUKMA 2026 akan buat yang terbaik agar dapat mengutip lebih banyak pingat untuk Sabah.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada UCSF di atas sokongan berterusan terhadap perkembangan sukan petanque di Sabah”, katanya.
Naib Canselor UCSF Dr Rafiq Idris ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada semua atlet petanque Sabah yang telah berjaya membawa pulang 2 pingat emas.
“Sesungguhnya, sukan Petanque merupakan sukan yang semakin diminati oleh golongan belia di Sabah. UCSF agak sinonim dengan sukan petanque ini. Dari perspektif universiti, seperti sukan-sukan lain, kita sentiasa sokong perkembangan sukan di Sabah”, katanya.