Tiga pemain utama Sabah FC dilanjutkan kontrak sehingga November 2022: Marzuki

KOTA KINABALU:  Sabah FC mengambil langkah awal melanjutkan kontrak tiga tonggak utamanya sehingga November tahun depan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia.

Pengurusnya, Marzuki Nasir berkata, ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Alto Linus, Randy Baruh dan pemain import berasal daripada Negara Indonesia Saddil Ramdani menandatangani pelanjutan kontrak mereka semalam.

Randy Baruh

Katanya, pelanjutan kontrak ini sebagai imbuhan atas prestasi terbaik mereka sepanjang pusingan pertama Liga Super sekali gus menunjukkan komitmen  pengurusan Sabah FC menuju ke era pengurusan yang lebih profesional dan komprehensif.

“Kita tetap penuhi janji pihak pengurusan kepada pemain-pemain yang menunjukkan komitmen dan prestasi cemerlang serta memberangsangkan sama ada ketika berada di dalam atau di luar padang sepanjang beraksi bersama Sabah FC.

“Ini langkah pertama dan berterusan untuk dipanjangkan kepada pemain lain untuk melanjutkan kontrak mereka selepas pihak pengurusan berpuas hati terhadap komitmen dan mutu permainan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu hari ini.

Alto Linus

Turut hadir menyaksikan majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC,  Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Marzuki berkata, kontrak ketiga-tiga pemain tersebut sepatutnya tamat november ini namun  diperbaharui lebih awal berdasarkan persetujuan bersama antara mereka dan pengurusan Sabah FC.

“Bermula hari ini ketiga-tiga mereka akan menerima kontrak serta gaji baharu. Ini bermakna akan terdapat peningkatan gaji mereka selepas persetujuan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Pihak pengurusan Sabah FC merancang untuk menandatangani pelanjutan kontrak beberapa pemain lagi dalam tempoh terdekat sekali gus berharap komitmen yang ditunjukkan ketiga-tiga pemain ini akan menjadi contoh kepada pemain lain.

SabahNewsToday