Peminat berpeluang melihat aksi ‘Sabah FC’ di Kompleks Sukan Keningau 23 April ini – Rafie Robert

KENINGAU : Peminat dan penyokong Kelab Bolasepak Sabah  (Sabah FC) Sang Badak  di sekitar pedalaman berpeluang menyaksikan sendiri kesebelasan utama Sabah FC beraksi di Kompleks Sukan Keningau pada 23 April ini.

Pengurus pasukan Sabah FC Rafie Robert berkata, Sabah FC kini dalam siri jelajah pasukan itu di tiga daerah iaitu Keningau, Tawau dan Sandakan bermula ahad ini.

“Keningau merupakan destinasi pertama jelajah ini Sabah FC bagi mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan Keningau FA bermula jam 7 malam nanti.

“Jelajah seterusnya melibatkan di daerah Sandakan dan Tawau. Ini merupakan peluang keemasan peminat serta penyokong kepada Sabah FC untuk menyaksikan sendiri pasukan kesayangan mereka beraksi di kawasan  pendalaman,” katanya di sini semalam.

Rafie merupakan Presiden Keningau FA berkata, sudah tentu pasukan Keningau FA begitu teruja pada aksi perlawanan persahabatan ini sekali gus berharap pemain dibawah bimbingan jurulatih Well Apin akan turut mempamerkan aksi terbaik mereka.

“Jelajah ini merupakan penghargaan kepada semua lapisan penyokong di negeri ini, selain menjadi pemangkin kepada Sabah FC untuk menunjukkan aksi lebih baik serta bersemangat lagi dalam perlawanan di peringkat seterusnya,” jelas Rafie.

Menurutnya, dibawah bimbingan Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pemain Sabah FC mampu mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan liga akan datang sekali gus membolehkan berpeluang merangkul kejuaraan dalam liga musim ini.