27 Atlet Bakal Sertai Kejohanan Taekwon-Do (ITF) Antarabangsa Hwarang Warrior 2024

KOTA KINABALU : Seramai 27 atlit daripada Persatuan Taekwon-Do Negeri Sabah (ITF) akan menyertai Kejohanan Taekwon-Do Antarabangsa Hwarang Warrior 2024 pada 29 Februari sehingga 3 Mac 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh presiden persatuan tersebut Tuan Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen dalam satu kunjungan hormat rombongan beliau kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Difahamkan 27 atlet tersebut berumur daripada 7 sehingga 18 tahun akan beraksi dalam acara Sparing dan Pattern (mengikut kategori umur) dengan penglibatan 10 pegawai yang terdiri daripada satu pengurus, dua jurulatih dan tujuh pembantu jurulatih.

Terdahulu selain kunjungan hormat, Ellron sempat menyempurnakan pelepasan atlet-atlet yang bakal ke kejohanan tersebut.

Beliau juga sempat memberikan perkongsian kepada adik-adik yang menyertai kejohanan itu mengenai perjalanan karier beliau sebagai salah seorang atlet pecut kebangsaan di era 80-an.

“Untuk menjadi juara, anda haruslah mempunyai kesungguhan dan keikhlasan yang tinggi terutama sekali dalam sesi latihan, pergorbanan anda ini pasti akan memberikan kejayaan kepada anda suatu hari nanti” ujar beliau.

Selain itu, Ellron mewakili seluruh rakyat Sabah juga mendoakan yang terbaik kepada kontinjen agar dapat mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan nanti.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun, Pegawai Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negeri Sabah Ramzaineh Minen, barisan pegawai tertinggi KBSS dan jurulatih-jurulatih serta atlet-altlet.