Kuala Penyu merupakan daerah aktif anjurkan Kejohanan Sepak Takraw – Mohd Yazri

KUALA PENYU : Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kuala Penyu 2024 dilihat mampu melahirkan bakat baharu disamping mewujudkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya berkata, sambutan sangat menggalakan  dalam kalangan peserta menunjukkan sukan ini mendapat tempat dalam kalangan pelbagai usia.

Katanya, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha untuk mencungkil bakat baharu bagi memastikan sukan ini dapat melahirkan pelapis pada masa depan.

“Matlamat kejohanan ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemain sekitar kawasan berhampiran selain mencungkil bakat-bakat yang ada.

“Saya berharap agar aktiviti sebegini akan lebih ramai belia dapat menyertai dan menggalakkan lebih banyak aktiviti untuk belia dalam komuniti khususnya di daerah Kuala Penyu,” katanya di sini semalam.

Mohd Yazri berkata, ketika ini daerah Kuala Penyu sangat aktif menjalankan serta menganjurkan aktiviti berkaitan sepak takraw.

“Kekurangan kemudahan yang sangat terhad bukan menjadi halangan kepada pengemar sukan ini untuk menganjurkan program seperti ini.

“Apa yang kita inginkan iaitu semangat pemain untuk menunjukkan kemahiran mereka dalam menyertai setiap kejohanan yang dianjurkan,” jelas Mohd Yazri.

Kejohanan selama dua hari itu berlangsung di Dewan Muhibah Kampung Kerukan, Kuala Penyu.

Sebanyak dua kategori dianjurkan membabitkan pemain senior iaitu 26 pasukan manakala kategori bawah 15 tahun lapan pasukan turut mengambil bahagian.

Kategori Senior, pasukan Tunon berjaya menjuarai kejohanan itu membawa pulang hadiah wang tunai, tempat kedua serta ketiga secara bersama dimenangi pasukan KSTD’M Manuk-Manuk dan Lepaking A serta KSTD’M Im Team.

Bagi kategori 15 tahun, pasukan MDG B berjaya menjuarai kejohanan itu dengan membawa pulang hadiah wang tunai dan tempat kedua serta ketiga secara bersama masing-masing dimenangi pasukan Eyakie TT Junior dan Kilugus Junior serta Pulapol.