Sabah FC lapor polis berkaitan laporan tidak berasas Portal Online Borneo Today

KOTA KINABALU: Sabah FC akan membuat laporan polis berkaitan laporan ‘Siasat Salah Laku dan Pecah Amanah dalam Sabah FC’ yang dilaporkan portal media online Borneo Today hari ini.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Sabah FC menyangkal segala tuduhan yang dilaporkan media online tersebut sekali gus mempelawa mana-mana pihak melakukan siasatan terhadap Sabah FC.

Setakat ini semua urusniaga perpindahan melibatkan pemain (pemain import) mempunyai dokumen rasmi dengan mengikut prosedur ditetapkan serta bukan dijalankan secara sesuka hati.

“Tiada isu ‘Mark Up’ seperti yang dilaporkan portal online Borneo Today. Sabah FC cuma membayar RM30000 untuk kos logistik  penghantaran LED ke Kota Kinabalu dan ia merupakan sumbangan daripada salah satu penaja untuk musim ini.

“Bagi sistem Catapult pula hanya RM65000 dibelanjakan kelab. Ia dibeli secara terus daripada Negara Australia tanpa membabitkan mana-mana pihak atau orang tengah (agent) seperti yang dinyatakan,” katanya.

Sabah FC mencabar sesiapa yang membuat kenyataan tersebut untuk tampil menunjukkan segala bukti berkenaan termasuk salah laku serta pecah amanah yang dinyatakan di dalam portal berkenaan.

Dalam tempoh terdekat, pihak pengurusan membuat laporan polis untuk memaklumkan tentang hasutan ini.

Pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya portal online tersebut atau mana-mana pihak secara terus menerus menabur fitnah yang tidak berasas terhadap Sabah FC.

Sabah FC percaya segala tuduhan tidak berasas ini adalah dengan niat untuk menjatuhkan imej serta kerja keras yang dibuat pihak pengurusan kelab selama ini.

Fokus utama kelab adalah untuk meletakkan Sabah FC di landasan yang betul sama ada di dalam mahupun di luar padang.