KIULU: Seramai 190 peserta dari seluruh Sabah berjaya menamatkan ekspedisi Wilderness Leadership sejauh 36 kilometer yang berlangsung selama tiga hari dua malam di daerah ini baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Pelayanan Belia Seventh-Day Adventist Sabah (SAB) Mission itu menguji ketahanan fizikal, mental dan semangat kepimpinan peserta menerusi laluan mencabar merentasi kawasan ladang, perkampungan, bukit curam serta belantara semula jadi.
Pengarah Jabatan Pelayanan Belia SAB Mission merangkap Pengerusi Penganjur, Willborn Gondolos berkata, setiap peserta perlu membawa sendiri peralatan termasuk khemah, pakaian dan bekalan makanan sepanjang ekspedisi berlangsung.
Menurutnya, daripada 230 peserta yang mendaftar, hanya 190 berjaya menamatkan keseluruhan cabaran sehingga ke garisan penamat.
“Peserta berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan licin dan curam selain hujan lebat pada sebelah petang, namun mereka berjaya menamatkan perjalanan dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata, hari kedua menjadi ujian paling mencabar apabila peserta perlu menempuh perjalanan sejauh 16 kilometer dari D’Point Campsite Mangkaladom ke Waig-Waig Campsite melalui Pinahawon dan Bukit Kulintangan.
Katanya, laluan tersebut melibatkan pendakian curam, merentasi kawasan hutan, ladang serta beberapa anak sungai dengan trek yang mencabar.
“Selain menguji ketahanan fizikal, ekspedisi ini turut membentuk disiplin, semangat berpasukan dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia,” katanya.
Willborn berkata, setiap kumpulan dibantu pemandu arah manakala pasukan perubatan profesional turut ditempatkan sepanjang laluan bagi memastikan keselamatan peserta sentiasa terjamin.
Beliau menambah, program itu menjadi platform penting dalam melahirkan generasi belia yang lebih berdaya tahan, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Tuaran merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau manakala majlis penutupan disempurnakan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
