KOTA KINABALU : TABS SAFA Bandaraya menghantar lima pasukan mengambil bahagian dalam Karnival Bola Sepak Grassroot Piala Merdeka anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Sandakan yang akan berlangsung di Komplkes Sukan Sandakan mulai esok (Sabtu).
Pasukan itu membabitkan pasukan B12, B10 dan B8 setelah menerima undangan dari persatuan tersebut.
Kesemua pasukan terbabit berangkat ke Sandakan pagi ini bersama jurulatih, pegawai dan sebahagian ibu bapa pemain.
Hadir memberi semangat dan mengucapkan selamat berangkat kepada rombongan berkenaan ialah Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, naib pengerusi, S.A Ramlye, setiausaha, Amsir Abdullah dan penolong ketua jurulatih, Hassan Madisah.
Ketika ditemui di sini, Lokman memberitahu, TABS menghantar lima pasukan termasuk pasukan B10 dan B8 masing-masing mengandungi dua pasukan selain pasukan B12.
Menurut beliau, pihaknya mengharapkan pasukan-pasukan tersebut mendapat pendedahan berguna dalam karnival yang akan berakhir pada Ahad.
“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi memberi pendedahan dan menguji keupayaan pemain setelah mengikuti sesi latihan program pembangunan bola sepak TABS,”.
“Lagi pun, kita memang menerima kerjasama sangat baik daripada kalangan ibu bapa dan sudah sewajarnya kita memberi peluang agar anak-anak mereka dapat bermain dalam pertandingan sebenar seperti itu,” tegasnya.
Lokman berkata, TABS sangat menghargai kerjasama dan sokongan ibu bapa dan ini sebenarnya menjadi sebahagian aspek kekuatan pengendalian program pembangunan yang dijalankan.
“Kita mengharapkan persefahaman yang baik ini akan membantu kita untuk menambah-baik lagi program ini dari semasa ke semasa,” katanya.