KOTA KINABALU: Sabah FC menaruh harapan agar empat tonggak utama dapat beraksi capai kemenangan menentang Kelantan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pertemuan menentang Kelantan FC sangat penting bagi memastikan skuad badak layak ke peringkat seterusnya dalam siangan kempen Piala Malaysia 2021.
“Kita sangat berharap agar Park Taesu, Nazirul Naim, Dendy Lowa Rawilson Batuil, sempat pulih serta dapat beraksi secara sepenuh masa sekali gus memastikan tiga mata milik Sabah FC.

“Setakat ini peluang masih lagi terbuka dan yang penting di sini kita harus memperbaiki kedudukan ini sekali gus menang menentang Kelantan FC malam esok.
“Kita tewas dengan pasukan JDT dua kali berturut-turut. Pada masa itu kita beri peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta pendedahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Kim Swee berkata, dengan adanya pendedahan serta pengalaman bertemu dengan pasukan terbaik negara iaitu JDT, pemain muda dapat mempelajari sesuatu melalui perlawanan itu.
“Jika tiada pilihan…kita pertaruhkan pemain muda yang diberi peluang sekali lagi turun malam esok akan beraksi dengan lebih baik berikutan beberapa pemain utama masih berada dalam senarai kecederaan,” katanya.
Kim Swee melahirkan keyakinan, sesiapa sahaja diturunkan malam esok akan dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik untuk memastikan Sabah FC mencatat tiga mata menentang Kelantan FC