New Zealand Cavaliers juara Borneo Sevens 2024 tewaskan Borneo Eagles

SANDAKAN : New Zealand Cavaliers muncul juara dalam kejohanan Borneo Sevens 2024 yang berlangsung di Kelab Ragbi Eagles di sini, hari ini.

Perlawanan akhir menyaksikan pertemuan diantara pasukan itu yang menentang Borneo Eagles selaku juara bertahan.

New Zealand Cavaliers juara Borneo Sevens 2024 tewaskan Borneo Eagles.

Persaingan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan seri dengan 12 mata pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, kemenangan berpihak kepada New Zealand Cavaliers dengan 19 mata berbanding Borneo Eagles yang hanya kekal dengan 12 mata semasa tempoh masa penuh.

Kapten New Zealand Cavaliers, Lewis Ormond berkata Borneo Eagles adalah pasukan yang hebat dan mereka berbesar hati berpeluang menyertai kejohanan itu.

“Kami pasti akan kembali tahun depan untuk mempertahankan kemenangan ini. Penyertaan kami dalam kejohanan ini sekaligus memberi pengalaman untuk beberapa pemain yang belum pernah bermain di luar negara. Mereka gembira dapat merasai pengalaman budaya yang baharu,” katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai lagi anak muda di Malaysia khususnya Sabah yang menceburi sukan ragbi.

Jelasnya, ia bukan sekadar bermain di dalam padang, tetapi pengalaman semasa berada di luar padang juga memainkan peranan yang penting dalan perlawanan.

Sementara itu, Borneo Flyers berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori perempuan selepas menewaskan Uzbekistan dengan kutipan mata 40 – 0.

Kedua-dua pasukan juara masing-masing membawa pulang trofi kejohanan dan wang tunai USD5,000.

Manakala, naib juara masing-masing menerima wang tunai USD2,000.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Penganjur Borneo Sevens 2024 Velayuthan Tan.