TABS Sabah FC pertahankan kejuaraan Liga Suparimau B16

KOTA KINABALU : Pasukan TABS Sabah FC mempertahankan kejuaraan dalam Liga Suparimau B16 Season B selepas mengetepikan KKFC B 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka di padang sintetik Likas di sini, pagi ini.

Pasukan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang liga dengan mengumpul 22 mata menerusi tujuh kemenangan dan seri sekali.

KKFC A yang mengutip 19 mata menduduki naib juara manakala Jubilo Academy yang mengutip 16 mata memenangi tempat ketiga.

TABS Sabah FC memperoleh gol tunggal kemenangan pada babak separuh masa pertama melalui sepakan bebas dari sudut sebelah kanan yang menyaksikan penjaga gawang lawan gagal berbuat apa-apa untuk menjangkau bola yang menerjah ke jaring.

Saingan bertambah rancak pada separuh masa kedua namun kedua-dua pasukan lebih berhati-hati untuk melakukan serangan menyebabkan tiada jaringan dapat dihasilkan.

Jurulatih pasukan, Rosly Jamal berkata, para pemainnya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

Katanya, mereka telah membuktikan komitmen dan kesungguhan untuk terus bermain dengan baik bagi membolehkan misi pasukan dapat direalisasikan.

“Kita berpuas hati kerana pasukan mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas,” katanya ketika ditanya reaksinya mengenai kejayaan tersebut.

Menurut beliau, pasukan itu akan terus diperkukuhkan lagi bagi menghadapi kejohanan-kejohanan selepas ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim berkata, pihaknya yakin pasukan itu mampu menjuarai liga itu berdasarkan prestasi pemain-pemain sepanjang liga itu berlangsung.

“Kita sentiasa memantau perkembangan pasukan dari semasa ke semasa dan melaluinya kita mempunyai keyakinan bahawa mereka di landasan yang baik untuk menjulang piala,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukan itu akan dikekal untuk ditambahbaik sebagai persiapan menghadapi Piala Borneo pada September ini.

Bagaimanapun tambahnya, “kita akan serahkan kepada jurulatih untuk memantapkan lagi pasukan ini supaya ia benar-benar bersedia untuk bersaing dalam kejohanan itu nanti.”