Sabah tawar insentif RM500,000 kepada atlet paralimpik

KOTA KINABALU: Insentif tambahan RM500,000 daripada kerajaan negeri menanti tiga atlet para Sabah yang layak ke Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020 jika berjaya membawa pulang pingat emas.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, insentif itu sebagai tambahan kepada ganjaran RM1 juta dengan pencen bulanan RM5,000 yang ditawarkan kerajaan persekutuan kepada pemenang pingat emas.

Beliau berkata, bagi atlet yang berjaya membawa pulang perak dan gangsa, kerajaan negeri menyediakan insentif tambahan sebanyak RM150,000 dan RM50,000.

“Kita di kementerian sentiasa berdoa semoga mereka berjaya membawa pulang pingat untuk kontinjen negara, dan seperti yang dijanjikan, insentif kemenangan yang lumayan menanti mereka.

“Pemenang pingat emas akan menerima RM1 juta dengan pencen bulanan RM5,000 daripada kerajaan Pusat, diikuti RM300,000 dengan pencen bulanan RM3,000 untuk pemenang pingat perak dan RM100,000 dengan pencen bulanan RM2,000 untuk pemenang gangsa.

“Kerajaan negeri Sabah pula menawarkan insentif berjumlah RM500,000 kepada pemenang pingat emas, diikuti RM150,000 kepada pemenang pingat perak dan RM50,000 kepada pemenang pingat gangsa,” katanya selepas menyampaikan sagu hati pencapaian kepada ketiga-tiga atlet para Sabah di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor dan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Sabah, Tan Hwa Koon.

Tiga atlet para Sabah yang terpilih beraksi di Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020 pada 25 Ogos hingga 6 September depan ialah atlet renang, Brenda Anallia Larry, 15; atlet olahraga, Jonathan Wong Kar Gee, 30 dan atlet badminton, Didin Taresoh, 46.Brenda layak beraksi dalam acara 50 meter kuak lentang kategori S4 wanita, manakala Jonathan akan bertanding dalam acara lompat jauh kategori F12 lelaki.

Didin pula layak bertarung dalam acara perseorangan badminton kategori SS6 lelaki.

Ellron berkata, segala persiapan untuk membantu ketiga-tiga atlet itu mencapai misi mengutip pingat di Tokyo 2020 sedang giat dilaksanakan dan kini sudah di peringkat fasa akhir.

Katanya, perancangan rapi dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), MSN Sabah, Institut Sukan Negara, Pesuruhjaya Sukan, Persatuan dan jurulatih ketiga-tiga atlet itu, bagi memastikan mereka siap sedia sepenuhnya untuk memberikan cabaran di Jepun nanti.

“Sudah tentu kita semua, khususnya warga sukan di Sabah amat berbangga dengan pencapaian ketiga-tiga atlet ini. Mereka bukan saja mengharumkan nama Sabah tetapi juga nama Malaysia di persada dunia.

“Bukan mudah untuk melahirkan atlet seperti mereka, ianya memerlukan sokongan padu semua pihak selain kegigihan, kesabaran, keazaman dan disiplin tinggi atlet itu sendiri,” katanya.