PIALA SMJ: Sabah FC yakin beri saingan hebat bertemu KDA FC malam ini – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC menjanjikan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) malam ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata meskipun KDA FC mempunyai kelebihan jaringan gol namun anak buahnya perlu memperbaiki rentak permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini.

“Kita tahu pasukan KDA FC merupakan pasukan ‘favourite’… Kalau kita lihat daripada jumlah jaringan gol mereka jauh lebih baik dan lebih bersedia kali ini.

“Namun kita tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki corak pemainan berbanding sebelum ini. Sudah tentu saya ingin melihat satu persembahan yang lebih baik terutama pada perlawanan terakhir piala SMJ malam ini.

“Perlawanan terakhir ini penting bagi memastikan Sabah FC bersiap bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama Liga Super dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas mengenai jumlah pemain  diturunkan pada perlawanan terakhir malam ini, Kim Swee berkata ia bergantung kepada keadaan kecergasan pemain sedia ada.

“Saya tidak pasti berapa ramai lagi yang boleh bermain untuk perlawanan malam ini… terpulang kepada keadaan kecergasan pemain pagi ini dan tidak kira berapa ramai pemain yang kita ada kurang ataupun banyak kita harus bersiap sedia.

“Semua pemain merupakan pemain yang penting, tidak kira mereka kesebelasan utama ataupun tidak di mana perkara ini mungkin akan berulang pada saingan liga nanti jadi semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan,” katanya.

Kim Swee berkata mahu tidak mahu semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan malam ini sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sebelum.

Sabah FC akan bertemu KDA FC pada saingan Piala SMJ 2022 di Stadium Likas malam bermula jam 9 malam.

KDA FC kini berada ditangga pertama dengan kelebihan empat jaringan manakala Sabah FC berada dikedudukan kedua dengan hanya mengutip tiga mata.