KOTA KINABALU: Pasukan Futsal MAKSAK Sabah menetapkan sasaran untuk memintas kedudukan Selangor sebagai juara saingan futsal lelaki MAKSAK Games 2024 yang berlangsung di Sport City Indahpura, Kulai, Johor, esok.
Pengurus Pasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sabah, Asmey Ruddy, berkata pasukannya kini lebih bersedia untuk membawa cabaran Sabah setelah hanya menduduki lapan terbaik pada MAKSAK Games tahun lalu.
Meskipun menyedari kekuatan Selangor dalam arena futsal, beliau tetap yakin terhadap kemampuan semua 12 pemain pasukan MAKSAK Sabah untuk melakar kejutan dengan membawa pulang gelaran juara pada kejohanan kali ini.
“Sudah tentu misi kita pada kali ini ialah untuk menjadi juara. Tahun lalu pencapaian kita setakat lapan terbaik tetapi sebelum ini kita juga pernah menduduki tiga tempat terbaik.
“Cabaran getir kita ialah untuk menundukkan Selangor bagi merampas gelaran juara tetapi saya percaya semua pemain futsal MAKSAK Sabah sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi perlawanan nanti,” katanya pada majlis penyerahan bendera pasukan, di sini, malam tadi.
Majlis itu disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun.
Asmey berkata, persediaan rapi, khususnya latihan untuk memantapkan permainan pasukan dibuat sejak sebulan lalu dengan bimbingan seramai enam jurulatih yang turut mengiringi pemain ke Johor.
Katanya, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu disertai sebanyak 18 pasukan dari seluruh negara dengan setiap pasukan memiliki kelebihan masing-masing apabila bersaing untuk melakar kemenangan.
“Pasukan MAKSAK Sabah berada dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak, jadi agak mencabar juga kedudukan kita, namun saya percaya pemain mampu memberikan saingan yang baik untuk melakar kemenangan,” katanya.
Seramai 18 anggota rombongan pasukan MAKSAK Sabah, masing-masing 12 pemain dan enam jurulatih dijadual berlepas ke Johor pada tengah hari ini, sebelum perlawanan yang dijadualkan bermula esok.
Pada majlis malam tadi, Asmey turut menyatakan penghargaan kepada penaja pasukan, antaranya Sabah Energy dan Jetama Sdn Bhd atas sokongan bagi menguatkan persiapan Sabah dalam menghadapi perlawanan itu nanti.
Sementara itu, Mansur berkata Sabah setiap tahun menghantar pasukan bagi menyertai acara yang dipertandingkan dalam MAKSAK Games, termasuk futsal dengan sasaran untuk menjuarai setaip acara yang disertai.