KOTA KINABALU: Sabah FC turun memburu kemenangan pertama pada kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 menentang Sarawak United FC di Stadium Likas malam ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain import Neto Pessoa akan bergandingan dengan Mohd Amri Yahya bagi mengemudi barisan hadapan.
“Kita lihat perkembangan beberapa pemain yang masih mengalami kecederaan termasuk pemain utama iaitu penyerang import dari Jepun Taiki Kagayama, Dominic Tan dan Irfan Fazail.
“Kita tidak akan mengambil risiko untuk menurunkan mereka berikutan Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan media Sabah FC hari ini.
Kim Swee berkata bahagian pertahanan diketuai pemain import Jackson De Souza bersama Rawilson Batuil serta Mohd Rizal Ghazali disamping Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol utama.
“Ketiga-tiga mereka ini sudah ada keserasian dalam beberapa perlawanan lalu. Kita melihat tahap kecergasan Dominic Tan dan masih belum dapat diturunkan sepenuhnya malam ini.
“Kita mengisi kekosongan ini dengan memastikan posisi tertentu dapat dikemudi dengan baik agar tidak berlaku kesilapan ketika menentang Kelantan FC pada Ahad lalu,” katanya.
Kim Swee yakin anak buahnya tidak bermain dibawah tekanan meskipun gagal mencapai kemenangan dalam beberapa siri perlawanan lalu.
“Tekanan hadir pada setiap perlawanan walaupun kita menang…Jika Sabah FC menang tiga ataupun empat perlawanan yang lepas tidak bermakna perlawanan kelima tidak mempunyai tekanan.
“Namun ini bukan bermakna kita harus panik dengan apa jua keputusan tetapi kita harus memikirkan selepas ini apa perlu diperbaiki,” katanya.
Selain Sabah FC dan Sarawak United FC, kejohanan Piala SMJ turut disertai pasukan Kedah Darul Aman FC dan TRW Kelantan FC.
Pada perlawanan pertama pada Ahad lepas, Sabah FC tewas kepada TRW Kelantan FC dengan jaringan 1-2, manakala Kedah Darul Aman FC menewaskan Sarawak United FC 3-0.
Perlawanan kedua pada hari ini juga membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC menentang TRW Kelantan FC.