Sabah FC II perlu bangkit catat keputusan positif dalam saingan Piala Liga MFL – Alto

KOTA KINABALU : Sabah FC II kini yakin tampil lebih bertenaga, fokus serta elak menjadi pasukan belasahan dalam mengharungi saingan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Jurulatihnya, Alto Linus berkata, Sabah FC II perlu bangkit segera dengan memastikan setiap perlawanan mereka dapat mencapai keputusan positif sekali gus memperbaiki kedudukan carta Liga MFL.

Katanya, ketika ini beliau terpaksa melalukan banyak kerja rumah untuk memastikan Sabah FC II bangkit segera daripada beberapa episod kekalahan menyebabkan dibolosi pada jumlah jaringan yang besar.

“Fokus utama saya kini adalah sudah tentu kepada cara untuk memperbaiki kelemahan, mengenalpasti punca kelemahan serta meningkatkan kematangan corak permainan mereka ketika berada di atas padang.

“Sabah FC II mempunyai banyak potensi cuma mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki kesilapan sangat mudah sehingga berada di tangga tercorot liga selepas dibolosi dengan jumlah jaringan yang begitu besar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Alto kini mengambil alih Pengendali  kejurulatihan Sabah FC II daripada Johnny Dominikus berkata, beliau akan berusaha untuk menerapkan corak permainan lebih taktikal dan teratur, bagi memastikan setiap kesilapan mudah dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Sabah FC II perlu positif, segera bertindak menukar corak permainan agar setiap perlawanan dilalui akan memperoleh keputusan yang baik berbanding sebelum ini.

“Untuk ke arah itu, semua pemain perlu bekerja keras serta memahami apa objektif pasukan, tidak kira sama ada dalam latihan atau dalam perlawanan sebenar,” jelas Alto.

Dalam perkembangan berkata, Sabah FC II dijangka akan menentang Kuala Lumpur City, pada 23 Julai ini, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor.