Sistem daftar masuk dan tempahan utama AirAsia terjejas, penumpang di KKIA terkandas lebih 4 jam

KOTA KINABALU : Akibat Sistem daftar masuk serta tempahan utama AirAsia terjejas oleh isu teknologi maklumat (IT) global, mengakibatkan ramai penumpang ke beberapa destinasi terjejas sehingga empat jam di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) malam ini.

Beberapa penumpang mendakwa, pengendali tambang murah itu tidak memaklumkan tempoh masa menunggu sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan penumpang.

Seorang penumpang Mohd Isa Abdullah, 56, berkata beliau menunggu sejak 6.30 petang tadi namun Air Asia tidak memaklumkan tempoh masa penerbangan terbaharu ke distinasinya.

Katanya, beliau sepatutnya terbang pada jam 7 malam namum sehingga jam 10.30 malam tadi belum ada pengumuman rasmi dilakukan.

“Kita akui memang terdapat gangguan kepada sistem mereka, namun penumpang perlu dimaklumkan awal agar tidak timbul kerisauan dalam kalangan penumpang.

“Sepatunnya perkara seperti ini perlu diselesaikan segera oleh Air Asia sama ada dapat terbang pada malam ini atau ditangguh keesokkan hari ini,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Mohd Isa berkata, beliau bersimpati dengan beberapa keluarga yang membawa anak kecil yang terpaksa menunggu lama sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan mereka.

Menurut kenyataan dikeluarkan Air Asia menerusi apikasi X malam ini, penumpang mungkin mengalami daftar masuk yang lebih perlahan serta giliran yang agak panjang.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini. Kami menghargai kesabaran serta pemahaman anda pada masa ini,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 4.52 petang itu menyusuli laporan berita global mengenai gangguan perkhidmatan awan Microsoft yang telah menjejaskan banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam platform yang sama mengumumkan gangguan Microsoft tidak menjejaskan rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia.

“Bagaimanapun, beberapa rakan kongsi syarikat penerbangan kami mengalami gangguan akibat isu ini,” katanya.

MAH sebelum ini berkata perkhidmatannya tidak menerima kesan akibat gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan yang meluas di Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa lapangan terbang di Australia.