KOTA KINABALU: Sabah FC masih belum memutuskan untuk mengikat kontrak dua bintang bola sepak tempatan Baddrol Bakhtiar serta Khairul Fahmi Che Mat untuk beraksi pada Liga Super 2022 musim depan.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini semua adalah satu spekulasi yang ditularkan dalam laman sosial berikutan beliau perlu berbincang bersama pihak Pengurusan Sabah FC untuk mengetahui perbelanjaan pasukan menjelang musim akan datang.
Katanya, beliau tidak boleh memilih pemain secara sesuka hati dengan tidak mengikut kriteria perbelanjaan pasukan sekali gus sudah tentu akan membebankan perjalanan Liga Super 2022.
“Pada saya sudah tentu kita inginkan beberapa pemain yang mempunyai mutu permainan berkualiti tinggi disamping mereka dapat membantu Sabah FC mencapai keputusan baik pada musim depan.
“Dalam masa sama kita juga sudah mengenalpasti beberapa pemain tempatan untuk dicadangkan ditawarkan kontrak tapi masih lagi terikat mengikut saiz perbelanjaan serta berdasarkan kemampuan kewangan Sabah FC.
“Saya tidak boleh mendahului keputusan Pihak Pengurusan Sabah FC. Pada lazimnya setiap tahun pasti hampir semua kelab akan membeli serta menjual pemain ataupun mengekalkan kontrak pemain sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.
Kim Swee berkata, setakat ini senarai pemain Sabah FC yang akan kekal pada musim depan hanya akan diketahui selewat-lewatnya awal Disember ini.
“Apa yang boleh kita kongsikan di sini….Sabah FC melakukan perancangan rapi untuk mengekalkan berapa pemain utama yang sudah menunjukkan prestasi yang memberansangkan sepanjang musim ini,” katanya.