Oleh Aktivis Sosial Salman Nurillah
KOTA KINABALU: Dengan tarikh pembubaran DUN Sabah kini sudah semakin hampir, terdapat banyak spekulasi berkaitan kerjasama antara parti-parti yang ada di negeri ini.
Seperti yang saya sentuh sebelum ini tentang pengesahan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang Warisan akan bergerak Solo bagi menghadapi PRN17, pendirian tersebut amat jelas.
Bagaimanapun, ini sedikit berbeza dengan pendirian Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Mengikut laporan berita, Hajiji lebih cenderung meneruskan kerjasama dengan PH manakala UMNO/BN terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan.
Persoalannya sekarang ialah adakah UMNO/BN akan memilih bekerjasama dengan parti tempatan Warisan atau GRS bagi menghadapi PRN?
Perkembangan terkini yang dijelaskan oleh Bung bahawa BN Sabah akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN17 serta pendrian Hajiji tentang kemungkinan bekerjasama dengan PH dan parti-parti lain yang berminat cenderung menghangatkan lagi suhu politik Sabah.
Senario terkini ini memberi gambaran tentang pendekatan “segalanya mungkin” seperti tajuk lagu Kumpulan Headwind satu ketika dulu.
Persepsi umum juga melihat bahawa kem Bung dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak lebih memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti lokal dan ada juga kem yang dikatakan lebih cenderung bekerjasama parti GRS sahaja.
Teka teki politik ini amat menarik untuk kita lihat bagaimana pendirian pengundi untuk memangkah calon di peti undi nanti yang melihat sendiri kemungkinan yang akan terjadi sekiranya tidak ada parti yang mendapat majoriti selepas PRN nanti seperti mana yang berlaku selepas PRU15 pada tahun 2022 yang akhirnya menyaksikan kewujudan Kerajaan Perpaduan.
Ramai juga pemerhati politik berpendapat
bahawa setakat ini peluang Warisan atau GRS dapat bekerjasama dengan UMNO/BN masih di berada di kedudukan 50-50.
Secara peribadi saya merasakan bahawa walaupun pendirian telah dibuat oleh UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan PH, tapi saya melihat bahawa “segalanya mungkin” iaitu lebih mudah bagi BN Sabah untuk bekerjasama dengan Parti Lokal terutama Warisan, mengambil kira layanan yang diberikan kepada BN semasa sama-sama berada dalam barisan kerajaan negeri sebelum ini yang ditunjangi GRS.