MELAKA: Sabah FC masih mempunyai peluang 90 minit untuk layak ke separuh akhir sekiranya mampu menewaskan Melaka United FC (MUFC) di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee yakin pihak lawan kini lebih tertekan berbanding pasukannya selepas Melaka bermain di laman sendiri.
“Saya jangkakan saingan sangat sengit akan berlaku malam esok. Ini sudah tentu memberi lebih tekanan kepada Melaka United.
“Jika kita berjaya menjaringkan gol awal akan meletakkan tekanan kepada Melaka. Peluang masih terbuka….kita mempunyai 90 minit ataupun 120 minit untuk bertarung” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Kim Swee berkata, apa yang penting semua perlu bermain mengikut perancangan sekali gus berharap pemain bersiap sedia walaupun sesiapa jua diturunkan pada perlawanan malam esok.
“Game plan amat mudah bagi saya. Kita tewas 1 – 0 di Stadium Likas…Sabah FC perlukan gol untuk layak ke separuh akhir,” katanya.
“Jadi perancangan untuk esok…Kita perlu mendapatkan gol tetapi pada masa sama kita tidak harus terburu-buru serta perlu memastikan tidak dibolosi malam esok,” katanya.