KOTA KINABALU: Sabah FC berhadapan cabaran sukar saingan suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Perak FC pada perlawanan pertama di Stadium Likas di sini, malam ini.
Sabah bermula garang apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-4 menerusi Darren Lok yang menyudahkan hantaran dari Min Ho.
Bagaimanapun, gol itu tidak bertahan lama apabila Perak FC menyamakan jaringan hasil tendangan percuma Lucino Guaycoche pada minit ke-10 mengelirukan penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi.
Bersambung masa kedua, Sabah FC tidak menunggu lama menambah jaringan menerusi Ramon Machado pada minit ke-46.
Bagaimanapun sekali lagi jaringan itu tidak bertahan lama apabila Perak FC menyamakan jaringan 2-2 menerusi jaringan Wan Zack Haikal pada minit ke-54.
Sabah FC akan bertandang ke Perak untuk perlawanan kedua suku akhir ini pada 25 September ini di Stadium Ipoh.
