SANDAKAN: Sabah berpotensi dibangunkan sebagai hab pengangkutan susulan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan berkata kedudukan Sabah yang berdekatan boleh menjadi penghubung bagi mereka yang mahu ke Kalimantan Timur.
“Bulan depan dijangka akan ada penerbangan terus dari Sabah ke Jakarta dan hujung tahun pula dijangka pengangkutan feri dari Lahad Datu ke Sulawesi.
“Ini akan semakin membuka jalur bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi dalam segala hal termasuk pertukaran budaya dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Hari Malaysia 2023 di Dewan SMJK Tiong Hua di sini, hari ini.
Ibu kota Nusantara di Kalimantan Timur dijadual akan berpindah secara rasmi pada Jun 2024.
Ketika ini orang ramai yang mahu ke ibu kota Nusantara akan melalui Tawau ke Nunukan, Tarakan dan kemudian ke Kalimantan dengan perjalanan menaiki bot lebih 10 jam.
Mengenai ekspo itu, Rafail melihat banyak potensi perniagaan dan pelaburan yang boleh dipelopori.
“Hubungan Malaysia dan Indonesia sangat kuat. Malaysia sudah menjadi rakan dagang dan rakan perniagaan yang terbesar bagi Indonesia.
“Kita berharap dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Indonesia yang semakin meningkat, kedua negara akan lebih maju tidak hanya sebagai rakan dagang dan pelaburan malah membangun menjadi ekonomi yang besar di kawasan Asia Tenggara,” jelas Rafail.
