KOTA KINABALU: Pasukan Hong Tu akan menyertai Kejohanan bola sepak Universal Youth Cup di China pada 20-23 Ogos ini.
Berikutan itu, pasukan berkenaan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan TABS B15 di padang ragbi A SUKMA, petang tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1.
Ketua jurulatih remaja negeri, Omar Maya Amat, yang membantu Hong Tu, berkata, pasukan itu akan berlepas ke China pada subuh Selasa ini.
Katanya, perlawanan persahabatan itu sebagai persiapan pasukan yang menghantar B15 dalam kejohanan itu.
“Beberapa pemain NFDP akan membantu memperkuatkan pasukan Hong Tu menghadapi kejohanan yang turut disertai kelab-kelab antarabangsa itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pasukan TABS yang dikendalikan bekas pemain pertahanan Sabah, jurulatih Malim Surat memberitahu, ia sebagai ujian pasukannya dalam menghadapi Malaysia Borneo Football Cup 2025 di Kota Kinabalu Oktober ini.
“Kita akan memperbaiki di mana aspek ada kelemahan agar pasukan sentiasa bersiap sedia menghadapi pasukan dari luar negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata, pihaknya menganggap perlawanan persahabatan itu mustahak bagi kedua-dua pasukan yang akan menghadapi kejohanan antarabangsa.
“Pada saya perlawanan ini sebagai persediaan kedua-dua pasukan terutama pasukan Hong Tu yang membawa cabaran di luar negara kerana mereka akan berhadapan dengan pasukan belia seperti Manchester City dan PSG,” katanya.
Beliau berharap pasukan Hong Tu akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan itu.
