Kontinjen Kota Kinabalu SAGA dapat insentif RM25,000 daripada DBKK

KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip telah meluluskan sejumlah RM25,000 kepada Kontinjen Kota Kinabalu Sukan Sabah (SAGA) sebagai pengiktirafan dan insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang temasya tersebut berlangsung.

Kontinjen Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan pada edisi penganjuran kali ini dengan merangkul pingat 32 Emas, 25 Perak dan 30 Gangsa pada SAGA yang berakhir pada 21 Disember lepas.

Sebanyak 22 jenis sukan telah dipertandingkan sejak ianya bermula pada 14 Disember lepas dan Kontinjen Kota Kinabalu telah menghantar seramai 481 peserta termasuk atlet, jurulatih, pengurus dan urus setia.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Junainah Abbie berkata insentif ini diharap dapat menyuntik semangat moral kepada para atlet untuk terus mengharumkan nama baik Kota Kinabalu dan Sabah melalui sukan dan semakin ramai anak muda di luar sana akan mengikut jejak langkah kejayaan yang sama dan menempa kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.