KOTA KINABALU: Pasukan TABS Mix 9 dan TABS Mix 8 masing-masing menjuarai kategori bawah umur 10 tahun dan lapan tahun Kejohanan Futsal Piala Ramadan di sini, kelmarin.
Kejohanan itu anjuran Super Saga FA berlangsung di gelanggang futsal Yayasan Sabah.
Pemain TABS Mix 9, Adam Rayqal turut diisytiharkan sebagai penjaga gol terbaik kategori B10.
Pasukan TABS diketuai jurulatih Suryadi Sarman dan dibantu tiga jurulatih lain.
Mengulas kejayaan itu, Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim mengucapkan tahniah kepada jurulatih, pemain dan ibu bapa yang terus memberi sokongan kepada anak-anak mereka dalam setiap kejohanan yang disertai.
Katanya, komitmen dan kesungguhan jurulatih di samping kerjasama baik daripada ibu bapa menyuntik semangat anak-anak mempamerkan permainan yang terbaik.
“Pada usia yang muda ini, peranan ibu bapa sangat membantu untuk mengasah bakat anak-anak untuk terus berkembang selain bimbingan dan khidmat nasihat daripada jurulatih,” katanya.
Menurut beliau, pemain-pemain TABS bagi kategori umur B10, B12, B14, B16 dan B17 akan dipantau oleh kelab profesional, Sabah FC berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) dengan mereka sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya, jurulatih akan memastikan pemain-pemain terbabit sentiasa diberi pendedahan menerusi kejohanan sebenar selain menjalani sesi latihan hujung minggu.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan, TABS Mix 9 dan TABS Mix 8 juga telah menjuarai Kejohanan Piala Sanquick dan Fatos Sport sempena sambutan Tahun Baru Cina di Penampang dan Kejohanan Piala BFC di Kota Marudu.