KELANTAN: Sabah FC perlu segera menyesuaikan diri bermain di sebelah petang menentang Kelantan FC dalam aksi kedua Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV petang ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perubahan waktu perlawanan di sebelah petang kemungkinan besar ini akan pasti memberi impak yang berlainan kepada pasukannya.
Katanya, Sabah FC tidak boleh memandang rendah kepada pasukan tuan rumah selepas mereka hanya tewas tipis 0 – 2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus ini membuktikan pasukan Kelantan FC mempunyai kekuatan yang tersendiri.
“Oleh itu kita harus memperbaiki kelemahan yang ada. Saya percaya dengan dalam tempoh dua dan tiga hari lalu latihan selepas perlawanan dengan PJ City kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan.
“Perlawanan menentang Kelantan FC sangat penting. Kita perlu memastikan supaya Sabah FC tidak kehilangan mata apabila bertemu Kelantan. Ini penting untuk memastikan peluang kita untuk ke peringkat seterusnya masih lagi terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Kim Swee berkata, sekiranya pada perlawanan esok Sabah FC gagal mendapatkan sebarang mata kemungkinan besar tugas akan lebih mencabar apabila selepas ini akan bermain menentang JDT di Stadium Likas pada 29 Oktober depan.
“Kita lihat pada perlawanan pertama menentang PJ City FC, kita agak baik terutamanya pada separuh masa pertama tetapi banyak kelemahan di separuh masa kedua.
“Kita sudah mengenalpasti kelemahan ini berharap semua pemain dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan esok petang,” katanya.