Sabah FC yakin capai keputusan baik esok: Marzuki

KOTA KINABALU: Sabah FC melahirkan keyakinan akan mencapai keputusan baik menentang Terengganu FC di Stadium Likas Kota Kinabalu malam (Ahad) esok.

Pengurus Pasukannya, Marzuki Nasir berkata, ini berdasarkan persiapan yang dijalankan pihak Sabah FC sebaik sahaja balik daripada Kuantan selasa lalu sekaligus menjalankan kajian pasukan lawan (Terengganu FC).

Marzuki ketika bersama pemain petang tadi. Gambar oleh: Sabah FC

Katanya, Sabah FC sudah siap menjalankan post mortem kelmarin dalam kalangan pemain serta jurulatih tanpa dihadiri oleh pihak pengurusan bagi mengenalpasti kelemahan yang ada.

“Kita menerima maklum balas sangat positif dalam perbincangan itu termasuk melihat beberapa siri perlawanan melalui video analisis bagi memperbaiki mutu permainan sedia ada.

“Lebih membanggakan persiapan pemain cukup bagus, bersedia serta bersemangat untuk mencatat kemenangan pertama menentang Terengganu FC esok di Stadium Likas malam esok,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Marzuki berkata, ketika ini semua pemain termasuk Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto mengambil positif terhadap amaran yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan baru-baru ini.

Antara pemain Sabah FC menyertai sesi latihan petang tadi. Gambar oleh Sabah FC

“Apa yang kita tekankan iaitu Kurniawan perlu peka terhadap prestasi hambar sehingga menyebabkan kekalahan tiga berturut-turut agar ada langkah awal sebelum Sabah FC ketinggalan jauh dari segi kutipan mata dengan pasukan yang lain sekaligus meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Marzuki menjelaskan setakat ini hubungan pihak pengurusan dengan Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto sangat baik meskipun amaran dikeluarkan kepadanya baru-baru ini.

SabahNewsToday

Leave a Reply