Pasukan Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort Naib Juara Piala Datuk Siti Aminah

BEAUFORT: Pasukan Bola Sepak Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort muncul sebagai Naib Juara kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Beaufort, semalam.

Mereka tewas tipis 1-2 kepada pasukan Paurang FC.

AK Mohd Yazri menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort yang juga pengurus pasukan Ak.Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata kejayaan merangkul naib juara kejohanan tersebut merupakan satu permulaan yang baik bagi pasukan Pergerakan Pemuda UMNO yang baru saja dibentuk untuk melangkah lebih jauh ke hadapan bagi sebarang kejohanan bola sepak khususnya di kawasan tersebut dan ke peringkat negeri.

“Meskipun menduduki naib juara, namun kami berpuas hati dengan kejayaan ini dan ianya merupakan satu langkah dan percubaan yang terbaik oleh para pemain pergerakan pemuda UMNO untuk membawa lebih banyak peluang kepada para pemain untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi” katanya.

AK Mohd Yazri bergambar bersama semua pasukan.

Majlis penutupan kejohanan tersebut yang disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Beaufort Jaludin Kadir.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu 30 September hingga 1 Oktober turut disertai sebanyak 32 pasukan dari kawasan Parlimen Beaufort yang menyediakan hadiah berupa piala, medal dan wang tunai RM3,000.

Naib juara medal dan wang tunai RM2,000 dan tempat ketiga medal dan wang tunai RM1,000 sementara tempat keempat wang tunai RM500.

Menurut Ak Mohd Yazri aktiviti sukan seperti bola sepak antara pendekatan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort bagi mendekati golongan muda khususnya di kawasan tersebut.

Katanya pada masa sama mereka terlibat dalam aktiviti sihat dan dijadikan landasan untuk mencari bakat-bakat muda dalam pelbagai program sukan seperti bola sepak, takraw bola dan bola tampar untuk dicungkil bakat mereka dan diketengahkan ke peringkat yang sewajarnya.

“Kita merancang dan laksanakan pelbagai program sukan ke peringkat akar umbi selain menyalurkan bantuan peralatan sukan seperti bola dan sebagainya bagi memberikan galakan kepada anak muda terlibat dengan aktiviti riadah dan menjauhkan mereka dengan ancaman gejala sosial,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi semasa menutup kejohahan tersebut yang disampaikan oleh wakilnya Jaludin berkata, kejohanan tersebut dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan anak muda di kawasan tersebut untuk terlibat dengan kegiatan sihat disamping mencungkil bakat sukan khususnya dalam sukan bola sepak.

Menurut beliau sukan juga merupakan landasan terbaik bagi membentuk daya juang, semangat perpaduan di kalangan generasi muda khususnya dalam menjayakan konsep Malaysia Madani.