Persiapan TABS hadapi Piala Borneo Lancar – S.A Ramlye

KOTA KINABALU : Persiapan TABS SAFA Bandaraya ke Kejohanan Piala Borneo di sini mulai 22 September ini berjalan lancar dan semua pasukan bersiap siaga untuk menghadapinya, kata Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye.

Beliau berkata, meskipun latihan pasukan sedikit terganggu akibat hujan namun ia tidak menjejaskan keseluruhan persiapan yang dilakukan.

“Semua pasukan kita bersemangat untuk beraksi dan ini menunjukkan mereka sudah bersedia menghadapi perlawanan dalam kejohanan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini tengah hari tadi.

Ramlye berkata, TABS akan menghantar enam pasukan termasuk B16, dua pasukan B15, B13, B12 dan B11 dalam kejohanan itu kali ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menyertai kategori umur B14 atas permintaan penganjur tetapi dia menawarkan dua pasukan untuk kategori B15 dan TABS mengalu-alukannya.

“Secara keseluruhan, persiapan kami berjalan lancar dengan kesemua jurulatih terlibat sudah memuktamadkan senarai akhir pemain mereka dan sudah tentu mereka hanya menunggu untuk bertanding,” ujarnya.

Naib Pengerusi TABS itu memberitahu, ketua jurulatih, Ismail Tudiki telah diamanahkan untuk memantau pengendalian latihan oleh jurulatih masing-masing mengikut kategori.

Katanya, pasukan B11 akan memulakan saingan bagi kategori umur itu di padang UMS, Ahad ini.

TABS disenaraikan dalam Kumpulan B bagi kategori B11 bersama HKJFL, Jubilo Football Academy dan Braves FC Tacloban FC.

Pada perlawanan pertama, TABS akan menentang Braves FC Tacloban FC jam 10.00 pagi.