Liga Super: Dua jaringan Daniel Ting bantu Sabah FC benam Kelantan United FC 6-1

KOTA KINABALU: Sabah FC kembali menemui rentak kemenangan pada saingan Liga Superapabila membenam Kelantan United FC 6-1 di Stadium Likas, malam tadi.

Baru empat minit permainan separuh masa pertama, Kelantan United FC dikejutkan dengan jaringan Daniel Ting selepas menerima umpanan menarik dari Kwang Min Ho.

Sabah FC yang mendapat suntikan semangat dari jaringan itu terus menguji pertahanan Kelantan United FC dan berhasil dengan Daniel Ting sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Kwang Min Ko.

Bersambung masa kedua, Kelantan United FC cuba bangkit dan berjaya menjaringkan gol menerusi Miguel Cifuentes pada minit ke-46.

Namun, Sabah FC tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Dominic Tan pada minit ke-48 untuk gol ketiga Sabah FC.

Kapten Sabah FC Baddrol Bakhtiar menambah gol keempat Sabah FC pada minit ke-61 untuk jaringan pertamanya pada saingan Liga Super 2023.

Stuart Wilkin yang mengemudi bahagian tengah Sabah FC dengan baik menjaringkan gol kelima Sabah FC menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-75.

Kemenangan bergaya Sabah FC pada malam diceriakan dengan gol keenam menerusi Telmo Castanheira pada minit ke-91.

Perlawanan Sabah FC seterusnya adalah menentang Selangor FC pada 27 April ini di Stadium Likas.

Kemenangan ini membolehkan Sabah FC menduduki kedudukan keempat pasukan dalam Liga Super.