SHAH ALAM: Pasukan lelaki kebangsaan mencipta sejarah selepas berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia buat pertama kalinya dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0, di sini hari ini.
Apa yang lebih menarik lagi, skuad utama Malaysia yang mengambil kesempatan ke atas pasukan kedua Indonesia, menggagalkan harapan musuh tradisi itu untuk memenangi kejohanan itu buat kali keempat berturut-turut, sejak kejohanan itu bermula pada 2016.
Bagaimanapun juara All England Lee Zii Jia bermula agak perlahan dan terpaksa berhempas pulas bagi mengelakkan Chico Aura Dwi Wardoyo dari memenangi set pembukaan 21-14.
Bagaimanapun bangkit dengan sokongan penuh daripada 200 penyokong tempatan di Pusat Konvesyen Setia City di sini, Zii Jia meningkatkan permainan dan serangannya, yang menyaksikan pemain nombor tujuh dunia itu berjaya mendahului pemain berusia 23 tahun dari Indonesia itu 16-6, sebelum menang set kedua dengan 21-12.
Set ketiga memperlihatkan keupayaan sebenar Zii Jia, dan berjaya mengalahkan Chico 21-10, dan memberikan Malaysia mata pertama.
— BERNAMA