KOTA KINABALU : TABS SAFA Bandaraya menjalinkan kerjasama dengan pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Tebobon susulan kesepakatan kedua-dua pihak khususnya dalam membantu melahirkan pemain berbakat dalam sukan itu.
Kerjasama itu dibincangkan dalam satu perjumpaan Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim dengan Guru Besar SK Tebobon, Ag Ghani Ag Bakar di sekolah berkenaan, Selasa lepas.
Turut bersama ialah Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, ketua jurulatih, Ismail Tudiki dan jurulatih Hassan Madisah selain cikgu Abdul Razak yang mewakili SK Tebobon.
Ketika ditemui kemudian, Lokman berkata, berdasarkan persefahaman dan kerjasama itu, pihak TABS akan membantu menyediakan berkaitan aspek teknikal dan memberi khidmat nasihat kejurulatihan kepada pasukan bola sepak sekolah berkenaan.
Katanya, unit kejurulatihan TABS diberi peranan untuk sentiasa memberi input, khidmat nasihat, bimbingan selain memantau perkembangan dan prestasi pasukan sekolah itu terutama dalam aktiviti bola sepak yang mereka jalankan di samping kejohanan yang mereka sertai.
Menurut beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada guru besar sekolah berkenaan kerana sentiasa menggalakkan perkembangan pasukan bola sepak dan ia sangat membantu memudahkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Bagi TABS, kami sudah lama terbabit dalam pengendalian program pembangunan bola sepak dan ketika ini dalam proses melebarkannya termasuk untuk turun ke sekolah bagi mengembangkan pasukan bola sepak mereka,” katanya.
Timbalan Pengerusi TABS itu berkata, sebelum ini, TABS juga membantu SK Menumbok di Kuala Penyu menjayakan klinik bola sepak dengan disertai kira-kira 200 murid tahun lalu.
Katanya, klinik itu diusahakan atas permintaan Guru Besar sekolah berkenaan, Nordin Mohd Taip.
“Ternyata klinik bola sepak itu mendapat sambutan baik dan ia membuktikan minat murid-murid terhadap sukan bola sepak sangat menggalakkan,” katanya.