Piala Malaysia : Sabah FC Melangkah Ke Suku Akhir Piala Malaysia Dengan Bergaya

KUALA LUMPUR : Sabah FC menepati ramalan mudah mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024/2025 selepas menyingkirkan PT Athletic dengan keputusan agregat 7-0, selepas melakar kemenangan 3-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 terbaik di sini, malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Sabah FC yang beraksi tanpa ketua jurulatih berikutan peletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee Khamis lepas, menerima saingan sengit yang menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Kesabaran skuad Sang Badak dalam memecah kebuntuan gol akhirnya berbalas selepas Abdul Latiff Suhaimi dipersalahkan kerana menjatuhkan Muhammad Farhan Roslan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR), dengan penyerang Darren Lok tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-67.

Enam minit kemudian, Sabah FC menggandakan kedudukan menerusi rembatan deras pemain tengah Stuart Wilkin yang menerima hantaran Telmo Castanheira.

Penyerang import dari Brazil Joao Pedro melengkapkan kemenangan Sabah ke atas pasukan semi-pro Liga Al itu, selepas menyumbat gol ketiga pasukan dengan menanduk masuk hantaran lintang Danial Ting pada minit ke-81.

Pedro terlepas peluang mencetak jaringan peribadi kedua apabila sepakan penalti kedua yang dihadiahkan kepada Sabah selepas bola terkena tangan pemain lawan, berjaya dinafikan penjaga gol Muhammad Syakir Danial Ma’amal Hajri pada minit ke-83.