Naib Canselor UMS Tawan Puncak Gunung Kinabalu Sempena Ulang Tahun UMS Ke-30

KOTA KINABALU : Sempena meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalukan misi menawan puncak Gunung Kinabalu.

Program menerusi UMS Lambang Puncak Jaya diketuai Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Beliau tiba, di puncak gunung pada jam 6 pagi bersama-sama kumpulan pelajar dari Kelab Robotik UMS.

Ini sekali gus melakar sejarah membawa robot ciptaan mereka bergerak di permukaan tidak rata sekali gus mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie berkata, robot berbentuk kereta itu dicipta menggunakan varian empat roda bagi mekanisme suspensi rocker-bogie.

Katanya, ia merupakan versi ringkas daripada reka bentuk enam roda digunakan dalam Mars Rover dibangunkan NASA serta agensi angkasa lain bagi membolehkannya bergerak di permukaan tidak rata.

“Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.

“Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Mohd Ghazali Shafie berkata, sistem ini mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan konsisten dengan tanah.

“Walaupun di permukaan yang mencabar, selain gerakan (rocking) membantu menyerap hentakan daripada halangan, meningkatkan prestasi di kawasan lasak.

“Robot ciptaan tersebut lebih kos efektif, lebih ringan, dan mudah dibina serta ringan memudahkan mereka mengangkut robot tersebut ke puncak gunung,” jelas Mohd Ghazali Shafie.