Jawatan Ketua Kampung, Pengerusi JKKK di Tongod dilantik, bukan melalui undi – Masiung

TONGOD: Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan ditentukan melalui kaedah lantikan, bukan pemilihan secara undi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah itu diambil berdasarkan pengalaman lalu yang menunjukkan pemilihan melalui undian tidak membawa keharmonian, sebaliknya mencetuskan perpecahan dalam kalangan komuniti setempat.

Menurutnya, pertandingan dua atau tiga penjuru dalam pemilihan sering mengakibatkan wujudnya kelompok berbeza antara pihak yang menang dan kalah.

“Sepanjang lima penggal saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, pengalaman saya menunjukkan kaedah pemilihan secara undi tidak banyak membantu membentuk keharmonian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang Daerah Tongod di Dewan Simpang Entalibon, pada Selasa.

Masiung berkata, kaedah lantikan yang dibuat berdasarkan pengalaman serta keupayaan kepimpinan individu dilihat lebih sesuai dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut.

Tambahnya, keputusan popular melalui undian tidak semestinya menjamin perpaduan dalam sesebuah komuniti.

Kursus sehari anjuran Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) itu disertai seramai 57 ketua adat dari daerah Tongod.

Turut hadir Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee; Pengarah JHEANS, Nordin Lossin; dan Ketua Polis Daerah Tongod, Inspektor Edwan Dollah.