Sulaiman kekal ketuai TABS SAFA Bandaraya, Moksin dilantik Bendahari baharu

KOTA KINABALU: Sulaiman Mohd Noor kekal sebagai Pengerusi Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya untuk penggal 2024-2027 selain mengekalkan Penasihatnya Datuk Alijus Sipil yang kini merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Timbalan Pengerusi, Lokman Sunggim turut dikekalkan pada mesyuarat TABS semalam.

Jawatan naib pengerusi terdiri daripada S.A Ramlye (I), Juraidah Abdul Rahim (II) dan Amirhad Yunus (III).

Setiausaha TABS masih dipegang Amsir Abdullah manakala bendahari ialah Moksin Dusin yang sebelum ini memegang tugas sebagai naib pengerusi.

Ahli jawatankuasa terdiri daripada Rosly Jamal, Ahmad Ibrahim, Ismail Tudiki dan Hassan Madisah.

Dalam amanat sempena tahun baharunya, Sulaiman, seorang bekas pengurus bank, berkata penstrukturan baharu pengurusan TABS bagi memperkasakan badan tersebut supaya lebih terbuka, telus dan kompeten dalam menjayakan program pembangunan bola sepak di Sabah.

Katanya, beberapa perubahan ahli jawatankuasa baharunya dengan mengambil kira input dan pandangan pelbagai pihak yang terbabit dalam sukan bola sepak termasuk ibu bapa pelatih, pihak penguatkuasaan dan aspirasi jurulatih.

“Dengan beberapa perubahan yang dilakukan, kita berharap TABS akan lebih kompeten, terbuka dan telus dalam menjayakan program yang dijalankan,” katanya.

Menurut Sulaiman, banyak kejayaan yang dicapai TABS dalam pertandingan-pertandingan tempatan beberapa tahun ini seperti dalam Piala Borneo, Liga Suparimau, kejohanan di daerah Kota Kinabalu mahu pun di luar daerah, yang membantu menaikkan imej dan nama TABS Safa Bandaraya.

“Kita akan meneruskan pencapaian ini dan seterusnya melakukan perancangan yang lebih sesuai untuk program pembangunan bola sepaknya,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau juga menasihatkan pengurusan TABS agar mampu mendepani cabaran di samping berkeyakinan untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang digalas sesuai dengan tuntutan semasa pada tahun baharu yang semakin mencabar.