Sabah FC tewaskan Kedah Darul Aman FC, tamatkan saingan Liga Super 2023 dikedudukan ketiga

KOTA KINABALU: Sabah FC memintas Kedah Darul Aman dikedudukan ketiga Liga Super selepas menewaskan pasukan itu 2-0 di Stadium Likas di sini, malam ini.

Perlawanan malam ini adalah perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pada saingan Liga Super 2023.

Sabah FC bermula dengan baik apabila menjaringkan gol awal menerusi Irfan Fazail pada minit ke-7 selepas menerima hantaran di penjuru gol dari Gabriel Perez.

Kedah kemudian cuba mendapatkan gol penyamaan dengan melancarkan beberapa serangan namun dapat digagalkan oleh pertahanan Sabah FC diketuai Ketua Pasukan Park Taesu.

Ramon Machado yang baru menandatangani kontrak dengan Sabah FC pagi tadi menghadiahkan gol kedua pada minit ke-42 selepas menyempurnakan cubaan Irfan Fazail yang sebelum itu terkena tiang gol.

Amri Yahya yang beraksi buat kali terakhir bersama Sabah FC dimasukkan pada minit ke-84 menggantikan Saddil Ramdani.

Sebagai penghargaan Park Taesu menyerahkan lilitan kapten pasukan kepada Amri.

Sabah FC menamatkan Liga Super 2023 dengan mengutip 54 mata dengan 17 kemenangan, tiga seri dan enam kalah.

Johor Darul Ta’zim ditahta liga dan kedua, Selangor FC.

Sabah FC akan menumpukan dalam Piala Konfederasi Asia melepasi saingan kumpulan dengan mengungguli Kumpulan H.