Penampang Preppies Swimming Club ungguli 2ND Labuan Invitational Age Group Swimming Championship 2023

LABUAN : Penampang Preppies Swimming Club (PPSC) mengungguli Kejohanan Renang 2nd Labuan Invitational Age Group Swimming Championship 2023 (LIAG 2023) di Kolam Renang Labuan International School (LIS), baru baru ini.

Selain bergelar juara, pasukan ini juga turut dinobatkan sebagai pasukan terbaik diikuti oleh LIS Marlins Swimming Club dan Danial & Iqa Swimming Academy (DISA).

Allen dan Su Thian Song (kanan) bersama Pengurus Pasukan PPSC (Juara), LIS Marlin SC (Naib Juara) dan DISA (tempat ketiga).

Kejohanan selama dua hari itu dianjurkan oleh Persatuan Akuatik Labuan (PAL) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan  Labuan, Malaysia Swimming Federation (MAS), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (Wipers) dan Majlis Sukan Labuan (MSL).

Sebanyak enam pasukan renang telah mengambil bahagian yang terdiri daripada tiga pasukan tempatan iaitu LIS Marlins Swimming Club, Danial & Iqa Swimming Academy dan Victoria Swimming Club.

Sabah pula diwakili tiga pasukan iaitu Penampang Preppies Swimming Club (Penampang), Blue Marlin Swimming Club (Kota Kinabalu) dan SSA Sandakan Swimming Club (Sandakan).

Sebanyak 96 acara renang mengikut kategori kumpulan umur telah dipertandingkan di kejohanan dua hari itu yang disertai 150 perenang muda.

Dalam pada itu, seramai 10 perenang telah  dianugerahkan Perenang Terbaik mengikut kategori umur masing-masing.

Stephen James Chua dan Nur Dylaila Myzara, kedua-duanya dari LIS dinobatkan perenang terbaik kumpulan umur 15-17 tahun.

Perenang terbaik 13-14 tahun dimenangi  Muhd Danial Hakim Jasri (DISA) dan Nur Syaziellah Tsen Sey Jing (LIS).

Bagi kumpulan 11-12 tahun, Hafuza Zunnur Zafran Hamid (DISA) dan Nichole Tiong Yen Hui (PPSC).

Quek Kiing Shing (SSA) dan Careyna Bulawan Joseph (PPSC) meraih perenang terbaik 9-10 tahun, diikuti oleh Lennox Joibi (PPSC) dan Hanna Marrisa Dax Citoy (LIS) bagi umur 8 tahun dan ke bawah.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sukan JBS Labuan Felix Den Anthony Paru.

Turut hadir, Presiden Persatuan Akuatik Labuan Su Thian Song dan Setiausaha PAL Alfhian Jeffri Chin.