Suku Akhir Piala FA: Sabah FC tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC

KOTA KINABALU: Sabah FC gagal ke separuh akhir saingan Piala FA selepas kecundang kepada Kuala Lumpur City FC 1-2 di Stadium Likas petang tadi.

Sabah FC gagal memanfaatkan gol awal pada minit ke-6 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Gabriel Perez selepas Jailton Da Silva dijatuhkan.

Bagaimanapun, Sabah FC gagal mempertahankan jaringan awal apabila KL City menyamakan jaringan pada minit ke-29 menerusi Raul Morales.

Biarpun Sabah FC membuat beberapa serangan untuk menambah jaringan namun gagal sebaliknya KL City FC memperolehi jaringan kedua pada minit ke-44 menerusi T. Saravanan.

Bersambung masa kedua, Sabah FC cuba mendapatkan jaringan penyamaan tetapi beberapa cubaan gagal menewaskan penjaga gol muda KL City FC Muhammad Azri Ab Ghani.

Sabah FC turut membawa masuk Gary Robbat menggantikan Stuart Wilkin namun gagal memperolehi gol penyamaan sehinggalah tamat perlawanan.