Liga Super: Sabah FC menang bergaya di Stadium Likas tewaskan Melaka United FC 2-1

KOTA KINABALU: Sabah FC menang bergaya menewaskan Melaka United FC 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Likas Kota Kinabalu malam tadi.

Jaringan oleh Mohd Amri Yahyah pada minit ke-65 dan ke-90 penting bagi Sabah FC meneruskan momentum kemenangan pada saingan Liga Super dan meneruskan tekanan kepada peneraju liga Johor Darul Ta’zim.

Sabah FC ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-24.

Keputusan pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee membawa masuk Mohd Amri Yahya bagi menggantikan Stuart Wilkin ternyata tepat.

Sabah meningkatkan serangan sebaik sahaja memasuki separuh masa kedua sehingga memperolehi jaringan menarik menerusi Mohd Amri selepas menerima hantaran daripada Alto Linus.

Jaringan kedua Mohd Amri diperolehi selepas dia mendapat hantaran daripada Muhammad Farhan Roslan.

Keadaan padang yang basah disebabkan air hujan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Dua kad merah dikeluarkan pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin kepada
pemain Melaka United FC Ahmad Haziq Ahmad Puad dan satu lagi kepada Kapten Sabah Rawilson Batuil.