Masalah tunggakkan ‘Gaji’ selesai: Khairul Firdaus

KOTA KINABALU: Pihak Pengurusan Sabah FC menafikan kononnya berlaku kes tunggakkan ‘Gaji Tiga Bulan’ dalam pengurusan Sabah FC sehingga tular dalam media sosial malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar berkata, memang diakui berlakunya beberapa kelewatan pembayaran gaji, namun ianya tidak pernah tertunggak lebih dari satu bulan.

Katanya, dakwaan bahawa gaji pemaiN tertunggak sehingga tiga bulan adalah tidak benar sama sekali sehingga tular di laman media sosial malam tadi.

“Setakat ini tiada pemain yang melakukan boikot pada sesi latihan petang semalam…Latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ini.

“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan media ini…Ianya bukan datang daripada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan Sabah FC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Firdaus menjawab laporan media tempatan semalam yang melaporkan sesi latihan skuad The Rhinos, petang semalam terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak tiga bulan.

Sumber dalam pasukan berkata, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

Firdaus berkata, dalam tempoh tiga bulan pihak pengurusan baharu mengambil alih sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan Sabah FC dalam landasan terbaik.

Pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Kita mengesahkan di sini komunikasi diantara pengurusan serta pemain sangat baik..Pihak pengurusan yakin selepas ini semuanya akan berjalan dengan lancar sekaligus mengelak daripada masalah ini berulang di masa depan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply