KOTA KINABALU: Sabah FC mengharapkan sokongan padu penyokong, khususnya rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia, bagi membantu pasukan membawa pulang bekalan terbaik dalam aksi pertama final MFL Challenge Cup 2025/2026 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu ini.
Pengurus pasukan, Mohd Arziz Afizy Rumsani berkata, kehadiran penyokong di venue perlawanan bukan sahaja mampu menaikkan moral pemain, malah boleh menjadi elemen penting dalam usaha pasukan mencipta keputusan positif di tempat lawan.
Menurutnya, Sabah FC memandang serius cabaran yang bakal diberikan Penang FC dan tidak mahu mengambil mudah aksi final berkenaan.
“Saya menyeru semua penyokong Sabah FC khususnya yang berada di Pulau Pinang dan sekitar Semenanjung Malaysia untuk hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita dalam perlawanan akhir ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pasukan itu turut meletakkan sasaran untuk membawa pulang bekalan kelebihan gol sebelum menghadapi aksi kedua final di Stadium Likas pada 19 April.
Katanya, sokongan penyokong di gelanggang lawan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada prestasi pemain dalam usaha memburu trofi.
Dalam masa sama, kehadiran penyokong dalam perlawanan berprofil tinggi seperti final juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada suasana bola sepak tempatan, termasuk dari sudut penjanaan ekonomi hari perlawanan dan pengukuhan jenama kelab.
Aksi pertama final itu dijadual bermula jam 9 malam.
