KOTA KINABALU : Tunas Asas Bola Sepak (TABS) SAFA Bandaraya kini menyediakan lima pasukan elit kategori umur B10, B12, B14, B16 dan B17 kepada Sabah FC melalui kolaborasi antara kedua-dua pihak.
Ia termasuk pasukan B10 dan B17, kategori terbaharu yang diperlukan kelab profesional itu berbanding sebelum ini hanya tiga kategori umur iaitu B12, B14 dan B16.
Naib Pengerusi, TABS SAFA Bandaraya, S.A Ramlye berkata, Sabah FC memerlukan dua kategori tambahan itu dan TABS bersetuju untuk menyediakan pasukan terbabit.
“Kita sudah menyerahkan senarai nama pemain B10 manakala senarai pemain B17 akan diserahkan minggu depan sebaik sahaja jurulatih selesai memuktamadkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw, di sini kelmarin.
Ramlye berkata, selaras dengan kolaborasi itu, nama pasukan bagi kategori berkenaan akan dikenali sebagai TABS-Sabah FC apabila menyertai mana-mana pertandingan selepas ini.
Katanya, penggunaan nama tersebut akan dimulakan dalam kejohanan Liga Suparimau dan Piala Borneo tahun ini.
“Kita berharap pasukan TABS-Sabah FC ini akan menjadi gandingan kolaborasi yang mantap dalam menaikkan imej sukan bola sepak di Sabah,” jelas Ramlye.
Menurutnya, pada Februari lepas, TABS telah mengemukakan senarai nama 15 jurulatih bertauliah terkini kepada Sabah FC dan SAFA Bandaraya Kota Kinabalu.
“Jurulatih terbabit boleh mereka manfaatkan khidmat mereka sekiranya ada keperluan untuk menghadapi mana-mana kejohanan pada masa akan datang,” katanya.