KOTA KINABALU : Seramai 10 atlet dan enam jurulatih dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dikenal pasti untuk menyertai Program
Projek Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, mereka yang terpilih adalah terdiri dari 203 atlet Sabah yang mengikuti. pembelajaran di SSMS.
“Hari ini kita berjaya mengumpulkan seramai 203 atlet anak jati Sabah di sekolah ini. Ini termasuk atlet sukan akuatik iaitu renang dan terjun, atlet angkat berat, bola sepak, hoki, memanah dan olahraga.
“Dari jumlah ini, setakat ini kementerian saya telah mengenalpasti 10 orang atlet dan enam orang jurulatih di bawah Program Projek Sukan Malaysia (SUKMA) 2024,” katanya pada Program Turun Padang Menteri di SSMS di sini, semalam.
Ellron berkata, pihaknya dengan kerjasama SSMS juga telah membina kerjasama untuk program khas iaitu Pusat Latihan untuk sukan memanah dan angkat berat di sekolah berkenaan yang akan dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah.
Katanya, pihaknya juga turut terlibat dalam membantu dan menghantar atlet-atlet Sabah untuk menyertai kejohanan memanah remaja Kebangsaan di Kelantan selain menghantar atlet angkat berat menyertai Thailand Sports Games pada tahun ini.
“Untuk hari ini (semalam) juga, kementerian saya akan menyampaikan saguhati bantuan kewangan kepada semua pelajar-pelajar anak kelahiran Sabah.
“Saya berharap bantuan tidak seberapa ini dapat sedikit- sebanyak meringankan beban adik-adik pelajar semua untuk membeli keperluan pembelajaran khususnya buku untuk menambah ilmu pengetahuan,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Ellron turut menyampaikan saguhati Kerajaan Negeri kepada kesemua 203 atlet Sabah yang bersekolah di SSMS.