Seorang cedera parah dan 12 lagi cedera dalam kejadian kebocoran gas Amonia

SANDAKAN : Seorang parah manakala 12 lagi cedera dalam kejadian kebocoran gas Amonia di sebuah kilang memproses ais batu di Batu 3 di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang pukul 10 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Seorang cedera parah dan 12 lagi cedera dalam kejadian kebocoran gas Amonia.

Katanya, kekuatan melibatkan 16 pegawai dan anggota bersama lima kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Balai Bomba Sandakan.

Selain itu, operasi turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan laporan, kejadian melibatkan kebocoran gas Amonia berpunca daripada mesin membuat ais yang telah pecah.

Seorang cedera parah dan 12 lagi cedera dalam kejadian kebocoran gas Amonia.

Daripada 13 mangsa terlibat, seorang lelaki dilaporkan parah, dua perempuan dan seorang lelaki mengalami sesak nafas dan sakit mata, enam lelaki dan seorang perempuan mengalami sakit mata dan kulit manakala seorang lelaki dan seorang wanita lagi cedera ringan.

Mangsa telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan ambulans (KKM).

Pasukan bomba berpakaian lengkap (PPE CPS) telah bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan seterusnya membuat nyahcemar dan sanitasi di seluruh kawasan tersebut.

Pemantauan turut dijalankan di kawasan bangunan berhampiran dan pihak bomba bertindak mengarahkan semua pekerja untuk segera keluar ke kawasan yang diisytiharkan selamat.

Susulan kejadian itu, pihak PDRM telah mengarahkan agar lokasi kejadian dan kawasan berhampiran dengan radius 100 meter untuk ditutup sehingga keadaan selamat.

Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 12.06 tengah hari.