TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara pelancongan budaya utama Sabah apabila berjaya menarik penyertaan peserta dari beberapa negara luar.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penyertaan peserta dari Kazakhstan, Uzbekistan, Kemboja dan Indonesia membuktikan festival itu semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kepelbagaian budaya yang dimiliki Sabah menjadi kekuatan utama dalam memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya.
“Festival ini bukan sahaja mengetengahkan keunikan masyarakat pelbagai etnik di Sabah, malah menjadi simbol perpaduan serta platform mengeratkan hubungan budaya di peringkat serantau.
“Kehadiran peserta luar negara membuktikan FKAT mempunyai daya tarikan tersendiri dan mampu memperkukuh kedudukan Tawau sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Kali Ke-11.
Hajiji berkata, festival itu turut memberi limpahan ekonomi kepada usahawan, pengusaha inap desa, penggiat seni dan peniaga kecil menerusi peningkatan kehadiran pelancong.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperbanyakkan program berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.
