KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet Sabah yang berjaya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI serta Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, turut menerima ganjaran RM50,000 iaitu pelari negara Eddy Bernard memperoleh pingat gangsa acara 100 meter di Sukan Paralimpik Paris 2024 lalu.
Katanya, bagi pihak kerajaan negeri, ucapan tahniah dan syabas disampaikan kepada atlet yang mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij itu.
“Kerajaan tidak melupakan kesemua jurulatih serta pengurus pasukan mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para SUKMA lalu.
“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih dan pengurus-pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada mereka,” katanya di sini semalam.
Teksnya disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada atlet renang berasal dari daerah Sandakan Shahafiq Abdullah kerana dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21 2024 apabila memperoleh empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Lebih membanggakan keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu adalah catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000.
“Kerajaan berharap semua perancangan dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan berjalan dengan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.
“Pada bulan September lalu, saya mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah di Wisma MUIS dan menerima taklimat berkaitan usaha kementerian ini untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di Sabah,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar sekali gus konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat dijalankan.
“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi moden bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan lebih efisien.
“Ingin ditegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti,” kata Hajiji.
