KOTA KINABALU: Sabah FC tersingkir pada saingan Piala FA selepas tumpas kepada Selangor FC 0-2 pada perlawanan suku akhir di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam tadi.
Selangor FC memperolehi gol pantas pada minit ke-1 menerusi jaringan Hyuri Henrique disebabkan kesilapan pertahanan Sabah FC yang menyangka Hyuri Henrique berada dalam kedudukan off-side.
Sabah FC cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan dengan meningkatkan serangan yang diketuai Mohd Amri Yahyah namun gagal sehingga tamat separuh masa pertama.
Di separuh masa kedua, Sabah FC cuba mendapatkan jaringan dengan memasukkan penyerang import Jose Embolo menggantikan Mohd Amri Yahyah namun masih gagal mendapatkan jaringan.
Sebaliknya Selangor FC memperolehi gol kedua menerusi jaringan Herlison Caion pada minit ke-81 bagi mengesahkan tempat untuk pasukan itu beraksi pada separuh akhir Piala FA.