Saddil Ramdani kekal bersama Sabah FC – Shahelmey

KOTA KINABALU : Pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani kekal bersama Sabah FC meskipun dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya berkata, setakat ini belum ada kelab yang menghubungi Sabah FC berhubung perkara itu.

Katanya, ini bermaksud Saddil Ramdani kekal bersama pasukan sekali gus SAFA meluluskan permohonan Sabah FC untuk menambah seorang lagi pemain import bagi menajamkan jentera serangan pasukan.

“Keputusan ini dibuat selepas pihaknya mendengar laporan yang dikemukakan Sabah FC mengenai perkara itu dan beberapa perkara lain berkaitan.

“Usaha ini mengambil kira saranan penyokong Sabah FC serta peminat bola sepak Sabah secara keseluruhannya berhubung keperluan kelab berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahelmey berkata, sehubungan itu SAFA meluluskan untuk menambah seorang pemain import untuk menajamkan jentera serangan.

“Setakat ini proses penilaian beberapa profil pemain penyerang yang dikemukakan beberapa ejen sedang dilakukan.

“Identiti pemain yang terpilih akan diumumkan secara rasmi sebaik saja proses pemilihan selesai. Pemain ini bakal didaftarkan apabila pintu perpindahan yang akan dibuka pada hujung Ogos,” jelas Shahelmey.